Skim Bekalan Air Ulu Padas nadi baharu bekalan air Sabah


Penduduk mendapatkan bekalan air daripada lori tangki yang disediakan.

SABAH cukup sinonim dengan kekayaan alam semula jadi, hujan yang tinggi dan jaringan sungai yang luas. Namun di sebalik kelebihan itu, negeri di bawah bayu ini sejak sekian lama bergelut dengan satu realiti yang melelahkan rakyat serta mengekang pertumbuhan ekonomi iaitu krisis bekalan air yang berulang.

Bagi penduduk, gangguan bekalan air bukan lagi isu bermusim atau luar biasa. Ia sudah menjadi rutin kehidupan yang memaksa keluarga menyimpan air di dalam tong, baldi dan bekas simpanan setiap kali notis catuan diumumkan.

Di beberapa daerah, gangguan bekalan air secara bergilir yang berlanjutan sehingga enam hari atau lebih lama, memberi tekanan besar kepada kehidupan harian. Aktiviti seperti memasak, mandi, membasuh dan menjalankan perniagaan kecil menjadi cabaran yang memenatkan.

Pada masa sama, tekanan itu bukan hanya dirasai isi rumah malahan sektor perniagaan turut menanggung kos operasi lebih tinggi akibat ketidakstabilan bekalan air yang berlarutan.

Hakikatnya, isu keselamatan air di Sabah sudah lama menjadi antara cabaran infrastruktur paling kritikal di negeri itu walaupun permintaan terhadap air terawat terus meningkat seiring pertumbuhan penduduk, pembangunan bandar dan pengembangan kawasan industri.

Namun, April 2026 mungkin menjadi titik perubahan paling penting dalam sejarah pembangunan infrastruktur air Sabah.

Selepas bertahun-tahun berdepan gangguan dan ketidakpastian, penyelesaian jangka panjang yang selama ini dinantikan akhirnya mula bergerak secara rasmi menerusi pelaksanaan Skim Bekalan Air Ulu Padas atau SBAUP.

Projek berimpak besar itu bukan sekadar pembinaan loji rawatan air baharu, tetapi menjadi teras kepada pelan induk lebih menyeluruh kerajaan negeri untuk memperkukuhkan keselamatan bekalan air Sabah bagi tempoh beberapa dekad akan datang.

Penyelesaian jangka panjang

SBAUP dibangunkan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi memenuhi keperluan air terawat di koridor pantai barat Sabah meliputi Kota Kinabalu, Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu dan Kimanis.

Melalui Fasa 1, projek itu akan menyaksikan pembinaan loji rawatan air berkapasiti 350 juta liter sehari (MLD) di Beaufort bersama lebih 200 kilometer jaringan paip yang menghubungkan Sipitang hingga Kota Kinabalu.

Apabila siap menjelang penghujung 2029, projek itu dijangka memberi kelegaan besar kepada sistem grid air Sabah yang selama ini sering berada dalam keadaan rapuh dan tidak stabil.

Joachim (empat dari kiri) ketika menyaksikan penyerahan tapak SBAUP antara Pengerusi Upper Padas Power Sdn Bhd yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sabah Energy Corporation, Datuk Ir Ts Adzmir Abd Rahman (tiga dari kiri) dan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Chee Chun Chieh, baru-baru ini.

Apa yang menjadikan SBAUP cukup signifikan ialah kapasiti reka bentuk akhirnya yang mampu mencapai sehingga 950 MLD, satu skala yang direka khusus untuk menampung keperluan Sabah bagi tempoh sehingga 50 tahun akan datang.

Momentum projek itu juga kini semakin jelas apabila tapak pembangunan rasmi SBAUP diserahkan kepada Upper Padas Power Sdn Bhd (UPPSB) pada 12 Mei lalu, sekali gus menandakan permulaan rasmi pembinaan projek berkenaan.

Majlis penyerahan tapak itu disaksikan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, bersama beberapa pemimpin utama kerajaan negeri dan industri tenaga di Sabah.

UPPSB sebelum ini menerima Surat Setuju Terima daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) pada 29 April lalu sebelum proses mobilisasi projek dilaksanakan segera.

Menariknya, SBAUP bukan projek air biasa yang berdiri secara berasingan, tetapi ia dibangunkan menggunakan pendekatan bolt-on yang diintegrasikan bersama Projek Hidroelektrik Ulu Padas (UPHEP).

Pendekatan itu membolehkan SBAUP memanfaatkan empangan UPHEP yang berfungsi mengawal aliran Sungai Padas sambil menyokong penghasilan tenaga boleh baharu.

Secara teknikal, integrasi itu menghasilkan satu penyelesaian dua dalam satu yang jarang dilaksanakan pada skala besar di negara ini dengan menggabungkan keselamatan air dan tenaga menerusi satu ekosistem infrastruktur yang saling melengkapi.

Pakar dari PY Konsep Perunding, Ir Dr James Yong Hon Min, menyifatkan projek itu sebagai antara infrastruktur air yang paling penting untuk Sabah ketika ini.

Beliau berkata, sistem bekalan air sedia ada negeri itu kini berada pada tahap cukup kritikal sehingga sebarang gangguan di loji rawatan air termasuk kerja penyelenggaraan berjadual boleh memberi kesan besar kepada bekalan domestik.

Katanya, integrasi SBAUP dengan projek hidroelektrik Ulu Padas menjadikan keseluruhan pembangunan itu lebih kos efektif kerana empangan utama yang mengawal aliran sungai dibiayai dan diselenggara melalui skim hidroelektrik berkenaan.

Pendekatan dual-purpose itu juga membolehkan Sabah memperoleh jaminan keselamatan air dan tenaga secara serentak melalui satu penyelesaian infrastruktur bersepadu.

Namun di sebalik kecanggihan kejuruteraan dan skala mega projek itu, sebab utama mengapa SBAUP begitu penting sebenarnya cukup mudah, iaitu kehidupan rakyat dan kelangsungan ekonomi negeri bergantung kepadanya.

Faktor tarik pelaburan

Sementara itu, Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC), Datuk Shahelmey Yahya pula menegaskan, infrastruktur air berkualiti tinggi bersama bekalan elektrik yang stabil kini menjadi faktor paling kritikal dalam menarik pelaburan langsung asing ke Sabah.

Datuk Shahelmey Yahya.

Beliau berkata, kedua-dua utiliti asas itu memainkan peranan besar dalam membantu Sabah memperoleh kira-kira RM7 bilion pelaburan baharu daripada syarikat dari China dan Korea Selatan sejak kebelakangan ini.

Katanya, jaminan bekalan air terawat akan meletakkan taman perindustrian negeri pada kedudukan lebih strategik sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah.

“Keperluan terhadap tambahan kapasiti air kini semakin mendesak ketika beberapa industri dijangka memeterai perjanjian pelaburan baharu dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang,” katanya.

Pandangan itu sebenarnya menggambarkan mengapa SBAUP dianggap sebagai projek transformasi, dan bukan sekadar projek utiliti biasa.

Dalam konteks lebih besar, kestabilan bekalan air menjadi antara asas paling penting kepada pembangunan ekonomi moden terutama ketika Sabah sedang memperkukuh sektor perindustrian, pelancongan dan tenaga.

Kawasan seperti Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP), misalnya, memerlukan sokongan utiliti yang stabil untuk terus berkembang dan menarik pelaburan baharu.

SBAUP juga dijangka mewujudkan limpahan ekonomi besar menerusi peluang pekerjaan, penyertaan kontraktor tempatan serta rantaian bekalan yang lebih aktif sepanjang tempoh pembinaan dan operasi projek.

Pada masa sama, projek itu mencerminkan pendekatan perancangan infrastruktur masa depan yang lebih holistik apabila aspek air dan tenaga dirancang secara bersepadu untuk mengoptimumkan sumber negeri.

Pendekatan sedemikian semakin penting ketika negeri di seluruh dunia berdepan tekanan perubahan iklim, pertumbuhan bandar dan peningkatan permintaan terhadap sumber asas.

Bagi Sabah, SBAUP bukan hanya mengenai menyelesaikan gangguan air hari ini, tetapi juga membina daya tahan negeri untuk menghadapi cabaran masa depan.